5 DIS : Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka mengadakan sidang media petang ini selepas selesai memberi keterangan kepada polis susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya sebelum ini.
Menurut pembantu Hadi seperti dilaporkan FMT, Ahli Parlimen Marang itu akan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, jam 3 petang untuk dirakam keterangannya.
Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.
Beliau turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan itu “tidak bermoral”.
Hadi menggunakan analogi bola sepak untuk mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil “tiba-tiba memberi masa tambahan” bagi memberi peluang kepada pasukan kalah “untuk menang dengan apa cara sekalipun”.
Komennya yang dipetik daripada kolum ditulisnya dalam lidah rasmi PAS, Harakah ditafsirkan sebagai merujuk gesaan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Ketua Komunikasi PKR Ampang, Syafiq Zulkifli semalam menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Hadi yang menyifatkan kenyataan berbaur hasutan itu boleh mengancam perpaduan negara.
“Kebencian yang cuba disemai ahli politik seperti Hadi menyebabkan ketidakharmonian dan membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
“Tindakan tegas mesti diambil polis terhadap mereka yang mencabar kedaulatan negara dan mereka yang terbabit dalam sebarang unsur pengkhianatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Ia susulan laporan polis dibuat NGO Raudhatul Muslimin terhadap Hadi, dengan berkata kenyataannya berunsur fitnah dan tidak sejajar ajaran Islam, selain boleh mengganggu ketenteraman awam.
NGO itu juga menuduh Hadi tidak menghormati Perlembagaan dan Agong.