5 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bermula 1 Januari depan, cabutan khas berkenaan akan kembali kepada lapan kali.
“Mulai 1 Januari 2023, cabutan khas perjudian yang sekarang diterima Perikatan Nasional (PN) sebagai 22 kali akan turun kepada lapan kali,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Malah, beliau turut mendakwa, apabila beliau merujuk kepada isu perjudian, beliau yakin ia sebahagiannya digunakan untuk membiayai pilihan raya oleh pihak tertentu, namun, beliau akan menyemak perkara itu terlebih dulu.
“Sama ada anda menggelar parti anda sebagai parti Melayu atau parti Islam, dana itu datangnya daripada syarikat perjudian,” katanya.