6 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar tidak gopoh mengeluarkan kenyataan penafian berhubung dana perjudian.
Beliau yang memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan hari ini menjelaskan bahawa berlaku pelanggaran dalam isu berkenaan.
“Saya nak nasihat Datuk Seri Takiyuddin jangan gopoh.
“Saya sekarang di Kementerian Kewangan dan ada dokumen bersama saya,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan.
Anwar berkata demikan ketika mengulas kenyataan Takiyuddin yang kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan Anwar yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.
Dalam pada itu, Anwar berkata kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa wang itu adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank adalah sesuatu yang sudah terlambat.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan PN sedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan.
Beliau menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas serta menganggapnya sebagai tuduhan liar semata-mata.