6 DIS : Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa parti gabungan itu menerima wang daripada syarikat judi dan menyifatkan kenyataan itu menunjukkan ketakutan kerajaan.
Kata Hamzah, pemimpin Pakatan Harapan (PH) takut dengan peristiwa yang telah dialami dalam pilihan raya baru-baru ini, maka Anwar keluarkan kenyataan untuk memburukkan PN seolah-olah kempen PN dibiayai duit datang daripada tauke judi.
“Ya betul kita bagi duit. Saya nak maklumkan, betul, saya ini Setiausaha Agung PN, ini banyak calon yang ada di hadapan saya.
“Kita bagi RM50,000 saja, seorang calon RM50,000. Kalaulah saya ada duit daripada tauke judi ni, saya ingat bukan hanya menang 73 kerusi, 30 kerusi BN yang ada itu pun kita sapu habis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah sempena PRK Tioman di bandar Rompin malam tadi.
Hamzah turut menjelaskan hal berkaitan jumlah cabutan khas judi ketika era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, kuasa untuk menentukan dan meluluskan jumlah cabutan adalah di bawah bidang kuasa menteri kewangan dan tidak perlu melalui kabinet.
Anwar ketika ini menurut Ahli Parlimen Larut itu, hanya menyebarkan propaganda tertentu untuk mengalihkan tumpuan kepada isu asas yang lebih penting.
“Apa saja dibangkitkan mereka adalah propaganda, nak lari daripada isu asal. Ini menunjukkan kerajaan ini kerajaan yang kalut, kerajaan luar tabii,” katanya
Semalam, Anwar dalam sidang media di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana pilihan raya datang dari syarikat judi,” katanya.