6 DIS : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa syukur dengan kerjasama yang terjalin antara Pentronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) bagi meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.
Menurutnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, projek ini telah dirintis oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mencipta sejarah baharu dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini.
“Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.
“Baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
“Tanpa hubungan yang erat antara Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Kata Ismail Sabri lagi, sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’.
“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.
“Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” ujarnya.
Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).