7 DIS : Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk penggal keempat apabila calonnya, Datuk Seri Johari Hussain menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, mengumumkan kira-kira jam 9.20 malam tadi mengenai kemenangan Johari yang mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru berkenaan.
Kemenangan dengan majoriti tipis 573 undi itu menyaksikan BN kini menguasai jumlah kerusi DUN yang sama dengan Perikatan Nasional (PN), iaitu 17, manakala Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi dimenanginya pada PRU15, 19 November lalu.
Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Osman A Bakar pula memperoleh 79 undi, manakala calon Bebas, Sulaiman Bakar sekadar meraih 58 undi. Undi rosak pula sebanyak 91 undi dengan peratusan keluar mengundi 58.39 peratus.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK N.42 DUN Tioman, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari bin Hussain.
“Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertungkus lumus demi kemenangan calon secara langsung mahupun tidak langsung.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus pastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat di negeri Pahang sentiasa terjamin, insyaAllah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya malam ini.
Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.
Calon asal PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.