7 DIS : Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam sepanjang proses pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sehubungan itu pengundi DUN Tioman tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Katanya, polis Pahang mengatur penugasan membabitkan 400 pegawai dan anggota untuk memastikan ketenteraman awam terjamin serta membantu kelancaran proses mengundi.
“Oleh itu, semua pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan diingatkan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan penugasan semasa.
“Pada masa sama, sentiasa dalam keadaan siap siaga menghadapi apa jua cabaran dan rintangan kerana DUN Tioman membabitkan pulau dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika memasuki Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 28,108 pemilih berdaftar di DUN Tioman dijangka keluar mengundi.
Sebanyak 17 pusat mengundi dan 52 saluran akan dibuka bagi proses pengundian di DUN Tioman.
PRU15 di DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61 yang meninggal dunia akibat dipercayai serangan jantung beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 November lalu.
DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN.