8 DIS : Bursa Malaysia ditutup dalam wilayah negatif pada Khamis berikutan kekurangan pemangkin baharu yang menggerakkan pasaran, seiring dengan prestasi lemah di kebanyakan bursa serantau.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,465.93, susut 0.95 mata atau 0.06 peratus daripada 1,466.88 ketika ditutup pada Rabu.
Saham pandu pasaran dibuka meningkat 0.49 mata kepada 1,467.37 sebelum bergerak dalam jajaran kecil antara 1,461.78 dan 1,469.12 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran turut negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 567 berbanding 369, manakala 396 kaunter tidak berubah, 923 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.19 bilion unit bernilai RM1.83 bilion daripada 3.35 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Rabu.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dagangan di pasaran tempatan dijangka tidak menentu pada masa ini sehingga mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) minggu depan.
“Banyak kebaikan yang melingkungi pasaran tempatan. Justeru, kita menghampiri tahap yang mana kita perlu melihat sebahagian daripada hasilnya.
“Saya lihat dua isu pada masa akan datang iaitu lonjakan mendadak kes COVID-19 disebabkan strategi sifar COVID-19 di China yang tidak membuahkan hasil serta mesyuarat FOMC minggu depan yang lebih cenderung kepada menaikkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi TNB meningkat lapan sen kepada RM9.15, Hong Leong Bank dan Digi masing-masing naik 10 sen kepada RM20.44 dan RM3.85, Press Metal menokok lima sen kepada RM4.85, Maybank susut tiga sen kepada RM8.62, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.41, dan Petronas Chemicals turun 14 sen kepada RM8.41.
Bagi saham aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada 2.5 sen, CN Asia meningkat tiga sen kepada 30 sen, KNM tidak berubah pada lima sen, MQ Technology menguncup 1.5 sen kepada lima sen, Advance Synergy susut satu sen kepada 16.5 sen, dan AH Holdings berkurangan empat sen kepada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 19.05 mata kepada 10,524.61, Indeks FBMT 100 menguncup 16.87 mata kepada 10,228.65, FBM 70 susut 62.19 mata kepada 12,839.13, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 2.21 mata kepada 10,689.27 dan FBM ACE naik 3.31 mata kepada 5,502.02.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.74 mata kepada 16,419.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.94 mata kepada 180.43, Indeks Perladangan menokok 6.48 mata kepada 6,732.79, manakala Indeks Tenaga susut 13.28 mata kepada 775.11.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.07 bilion saham bernilai RM1.55 bilion daripada 2.10 bilion saham bernilai RM1.83 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 352.70 juta unit bernilai RM76.10 juta daripada 331.56 juta unit bernilai RM71.61 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 763.30 juta saham bernilai RM209.50 juta berbanding 918.33 juta saham bernilai RM343.59 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 564.69 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (628.26 bilion); pembinaan (59.51 juta); teknologi (203.67 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (69.33 juta); hartanah (69.33 juta); perladangan (22.86 juta); REIT (6.48 juta), dana tertutup (sifar); tenaga (260.25 juta); penjagaan kesihatan (74.97 juta); telekomunikasi dan media (25.69 juta); pengangkutan dan logistik (40.45 juta); dan utiliti (11.37 juta).