8 DIS : Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan cadangan agar enam negeri terlibat mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak.
Enam buah negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan secara lebih mendalam.
“Secara peribadi saya sendiri tidak ada masalah sekiranya proses pengundian diadakan serentak.
“Saya sendiri akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan segala keputusan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih, di Kota Bharu hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.
Namun, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat pembubaran bagi DUN negeri terlibat dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.