9 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan pada jam 8.15 malam ini.
Anwar dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini, bagi memohon perkenan individu terbabit untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
“Setakat ini, kita bersama rakan-rakan yang konsisten dengan perjuangan dan reformasi. InsyaAllah, segala kebaikan dan keputusan adalah demi kesejahteraan negara.
“Saya akan menghadap Agong, petang ini, dan insyaAllah, jam 8.15 malam bakal diumumkan nama Timbalan-timbalan Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini.
Barisan Timbalan Menteri berkenaan dijangka mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, esok.
Anwar terdahulu menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat dan penduduk Kampung Baru, selepas makan tengah hari bersama Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sebuah restoran berhampiran masjid.
Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurang 35 nama meliputi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan parti lain sedang dipertimbangkan untuk mengisi portfolio Timbalan Menteri.