9 DIS : Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi memaklumkan mesyuarat MKT UMNO malam ini telah memutuskan untuk memecat seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian parti itu.
Bagaimanapun, Puad tidak memaklumkan nama-nama ahli yang dipecat itu dan menjangkakan akan ada sidang media berkaitan perkara itu.
“Ada beberapa keputusan telah dibuat dan saya rasa akan ada sidang media untuk memaklumkan siapa dipecat.
“Tiga orang yang dipecat daripada ahli UMNO bukan ahli MKT, ia melibatkan dua ketua wanita bahagian, satu ketua bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn malam tadi.
Menurutnya, antara punca utama mereka dipecat ialah kerana mencemuh parti dan juga berkempen untuk parti lain ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Presiden agak tegas dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang suka burukkan parti, termasuk bocorkan rahsia MKT,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyuarat pada malam ini turut membincangkan isu dana RM600 bilion melibatkan kerajaan terdahulu.
“Ada bincang isu RM600 bilion. Itu kita serah kepada Perdana Menteri untuk meneruskan siasatan.
“Kita yakin ia perlu disiasat supaya tiada pihak menyeleweng. Mereka katakan bersih tapi sebenarnya banyak perkara rakyat tidak tahu berlaku
“Harap siasatan ini dibuat secara terperinci dan menyeluruh,” ujarnya.