9 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan menghadapi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang ini, bagi memaklumkan senarai Timbalan Menteri yang bakal dilantik menyertai pentadbiran kerajaan diterajuinya.
Sumber berkata ia bagi melengkapkan pentadbiran kerajaan selepas perlantikan 28 anggota Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 3 Disember lalu.
Kebiasaannya, senarai Timbalan Menteri yang terpilih akan diumumkan oleh Perdana Menteri, sebelum mereka mengangkat jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 35 nama merangkumi wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (WARISAN) serta parti lainm sedang dipertimbangkan, mengisi portfolio timbalan menteri.
Sumber yang rapat dengan perbincangan bagi jawatan itu memaklumkan, jumlah timbalan menteri itu mungkin akan dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian, kecuali membabitkan beberapa kementerian yang disatukan.
Beliau berkata, ia mengambil kira hasrat Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar, yang mahukan saiz Kabinet lebih kecil berbanding sebelum ini.
Kementerian seperti Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim misalnya, yang sebelum ini adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dijangka mempunyai dua timbalan menteri.
Terdapat kemungkinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga akan mempunyai dua timbalan menteri, berikutan sudah tidak ada lagi Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet ketika ini.
Kementerian Kewangan juga dijangka mempunyai dua timbalan menteri berikutan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, selain kementerian yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi, kemungkinan akan mempunyai dua timbalan menteri.
Sumber berkata, antara nama yang tersenarai untuk dipertimbang bagi jawatan timbalan menteri daripada PH adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Liew Chin Tong (Iskandar Puteri), Steven Sim (Bukit Mertajam), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, yang mewakili PH.
Selain itu katanya, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) serta Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, juga tersenarai bagi mewakili BN.
Semua mereka sebelum ini pernah dilantik sebagai timbalan menteri di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Perbincangan akan dibuat Perdana Menteri dengan pemimpin utama parti yang membentuk kerajaan bagi meneliti portfolio yang bersesuaian. Proses bermula minggu ini dan dijangka berterusan hingga minggu depan,” katanya.
Sementara itu, beberapa muka baharu juga dijangka tersenarai, termasuk Chong Chieng Jen (Stampin), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Young Syefura Othman (Bentong), V Ganabatirau (Klang) dan Shahredzan Johan (Bangi), mewakili DAP.
Bagi PKR, nama yang dijangka tercalon ialah Rodziah Ismail (Ampang), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Adam Adli Abd Halim (Hang Tuah Jaya), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Nama besar PKR seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang menang buat pertama kali di Parlimen Gombak dan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun, dijangka tidak tercalon berikutan jawatan Menteri Besar yang disandang ketika ini, setara dengan jawatan di peringkat Persekutuan.
Jika mereka mahu dilantik sekali pun, ia mungkin melalui rombakan Kabinet selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan di Selangor dan Negeri Sembilan kelak.
Pada masa sama, Parti Amanah Negara (AMANAH) pula dikhabarkan turut menghantar beberapa nama termasuk Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari serta Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
“Beberapa beberapa senator juga dijangka dilantik bagi mengisi jawatan itu selepas namanya dicadangkan parti-parti yang membentuk kerajaan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Parti Warisan (WARISAN) yang menang tiga kerusi Parlimen pada PRU15, turut mengemukakan dua nama bagi jawatan Timbalan Menteri.
Difahamkan, mereka ialah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.-BH