13 DIS : Banjir kilat kemungkinan dijangka melanda Johor, Perak, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Notis PRABN yang dikeluarkan pada 4 petang ini memaklumkan kawasan terlibat di Johor ialah Batu Pahat sekitar Peserai, Simpang Kanan, Sri Medan dan Sungai Punggor, Kluang (Kahang, Machap, Ulu Benut dan Renggam) serta Kota Tinggi (Johor Lama, Sedili Besar, Ulu Sungai dan Johor)
Daerah lain dan kawasan sekitarnya yang turut terlibat ialah Mersing (Padang, Endau dan Triang), Muar (Ayer Baloi, Ayer Hitam, Bandar, Bandar Maharani, Jalan Bakri dan Sri Menanti), Pontian (Api-Api, Ayer Baloi, Ayer Masin, Pontian, Rimba Terjun dan Sungai Pinggan) serta Tangkak (Kesang, Kundang dan Tangkak).
Di Pahang, dua daerah terlibat iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Kuala Kuantan dan Sungai Karang serta Rompin (Endau, Pontian dan Rompin) manakala di Terengganu membabitkan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Cenering dan Kuala Terengganu) serta Marang (Alur Limbat, Bukit Payung, Jerung, Mercang dan Pulau Kerengga).
Kawasan dijangka terlibat di Pulau Pinang ialah Seberang Perai Selatan (Mukim 11, Mukim 7 dan Nibong Tebal) manakala di Negeri Sembilan ialah Port Dickson (Pekan Lukut, Pekan Jemima, Pasir Panjang dan Jimah).
Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.
“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu.