13 DIS : Kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkuat kuasa semalam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].
Mohd Shafiq menurutnya dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.
“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.
“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai,” katanya dalam kenyataan tersebut.