13 DIS : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution membidas kritikan Lawyers for Liberty (LFL) berkait isu depoh tahanan Imigresen di Kimanis.
Menurutnya, LFL tidak adil dalam membuat penilaian ketika beliau baru masuk hari kelima menjawat jawatan itu.
“Saya baru hari kelima masuk pejabat. Sangat tidak adil untuk mereka (LFL) membuat penilaian, baru masuk hari kelima. Beri peluang kepada saya untuk mendengar semua taklimat.
“Saya seorang yang sangat terbuka menerima teguran dan pandangan. Siapa yang mengenali saya mereka akan akui itu cara kepimpinan saya. Jadi saya nak menyanggah pihak Lawyers for Liberty yang harus tengok rekod saya yang lepas. Jangan buat kesimpulan awal.
“Dia (LFL) sendiri pun tidak pernah nak mohon berjumpa saya, macam mana nak kata saya tidak sedia terima pandangan?,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat PDRM, hari ini.
Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dalam satu kenyataan menyifatkan Saifuddin sama seperti pendahulunya.
Menurut Zaid, kenyataan Saifuddin yang sebelum ini menafikan tahanan di depoh Kimanis menerima layanan buruk sambil berkata tahanan terbabit sudah kurus sebelum ditahan sebagai tidak masuk akal.
Zaid juga menegaskan menteri dalam negeri itu tidak boleh hanya menerima bulat-bulat taklimat daripada Jabatan Imigresen.
Baru-baru ini tular satu rakaman video sepanjang 90 saat memaparkan seorang lelaki yang kelihatan kurus kering merayu agar dia dan rakannya dibebaskan daripada tahanan di depoh Kimanis.
Lelaki itu mendakwa tidak diberi makan dan minum secukupnya selain tidak diberi ubat untuk masalah gatal kulit.
Dalam sidang media sama, Saifuddin berkata pada peringkat awal, wajar untuk pihaknya mendengar taklimat daripada semua jabatan sebelum memberi pandangan dan penambahbaikan.
“Jadi sekarang ini sebagai menteri yang baru memulakan tugas, saya dan timbalan saya, tentulah munasabah untuk kami mendengar taklimat. Apakah mendengar taklimat bermaksud kami menerima sepenuhnya? Tentulah akan ada aspek yang kami akan bagi pandangan.
“Buat masa sekarang, kami dengar. Kami interkasi dengan jabatan berkenaan termasuk (Jabatan) Imigeresen dan akan sampai masa di mana keterlibatan kami yang berterusan dengan mereka ini, kami akan beri beberapa idea penambahbaikan.
“Takkan lah baru hari yang kelima masuk pejabat, Lawyers for Liberty boleh senang-senang sebut begitu. Dia kena semak sedikit kenyataan-kenyataan dia. Ini bukan marah cuma tegur. Seperti mana dia tegur saya, saya boleh tegur dia,” katanya. – Oleh NUR EISYA