14 DIS : Harga runcit petrol RON97 turun 20 sen daripada RM3.75 kepada RM3.55 seliter, sementara harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal untuk minggu ini bermula esok (15 Dis) hingga 21 Dis ini.
Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, harga RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.
“Namun, harga runcit petrol RON97 diturunkan selaras dengan pergerakan harga pasaran,” kata kenyataan tersebut.
Menurut MOF, penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Selain itu, Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.