14 DIS : Mesyuarat Kabinet hari ink meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh.
Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesyuarat Kabinet hari ini juga meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Ia supaya rundingan lebih bermakna dan segera dapat dijalankan dengan Singapura, jelas Anwar.
“Kita minta Peguam Negara memberi penjelasan mengenai kontroversi tuntutan Batu Puteh yang sekarang sudah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ dan kesan sampingannya.
“Kerajaan juga meminta supaya (ia) diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna dan segera dengan Singapura supaya tidak ada masalah berbangkit dengan hubungan dua negara sahabat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.
Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.
Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.
ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.
Baru-baru ini dalam penulisan oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, di BH, beliau menyatakan Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.
Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ia termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an yang memperakukan Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, pada 11 Jun 2018, kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan.