14 DIS : Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) negara maju itu terus susut pada November dan menyebabkan hasil dua tahun Perbendaharaannya merosot, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.3900/3955 berbanding dolar AS daripada 4.4260/4320 pada akhir urus niaga semalam.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, perkembangan itu menyebabkan pasaran menganggap bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menangguhkan kenaikan kadar faedah pada suku kedua 2023.
Laporan menyatakan dalam tempoh 12 bulan sehingga November, IHP AS meningkat sebanyak 7.1 peratus — kenaikan paling kecil sejak Disember 2021.
Innes juga menjangkakan ringgit akan terus mengukuh sehingga akhir 2022 susulan prospek lonjakan pengembaraan China pada 2023 yang menguntungkan mata wang ASEAN seperti ringgit dan baht Thailand berikutan kehadiran semula pelancong China.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4440/4509 daripada 5.4307/4381 semalam dan rendah berbanding euro pada 4.6819/6878 daripada 4.6646/6709, sebelum ini.
Unit tempatan itu juga rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2552/2608 daripada 3.2142/2188 namun mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2627/2675 daripada 3.2640/2689.