Datuk Bandar Turkiye dipenjara 3 tahun kerana sebar fitnah
15 DIS : Sebuah mahkamah di Turkiye semalam menjatuhi hukuman penjara hampir tiga tahun terhadap seorang Datuk Bandar pembangkang popular di negara itu, Ekrem Imamoglu, kerana menyebarkan fitnah berunsur politik.
Hukuman penjara dua tahun tujuh bulan itu turut menyaksikan beliau dihalang daripada bertanding pilihan raya presiden Jun tahun depan.
Dengan hukuman itu, pasukan Ekrem Imamoglu segera berikrar merayu sabitan kes yang berpunca kenyataan dibuat selepas mengalahkan sekutu Presiden Recep Tayiip Erdogan dalam undian yang penuh kontroversi.
Lazimnya, individu yang dijatuhi hukuman kurang daripada empat tahun jarang dipenjarakan di Turkiye, tetapi sabitan lelaki itu kerana menghina pegawai awam menyaksikan mahkamah membatalkan kelayakan Datuk Bandar berusia 52 tahun itu.
Beliau dianggap ‘bintang’ paling masyhur dalam parti sekular utama Turkiye.
Bagaimanapun Imamoglu akan terus mentadbir bandar terbesar dan paling terkenal di Turkiye sementara menunggu rayuan di mahkamah.
Selepas keputusan dibacakan, ratusan penyokong Imamoglu melaungkan ‘kerajaan letak jawatan’ di luar pejabat Datuk Bandar.
“Segelintir pihak tidak boleh merampas kuasa yang diberikan kepada kita oleh orang ramai,” kata Imamoglu kepada penyokongnya.
Perbicaraan tertumpu pada kenyataan yang pernah dibuat Imamoglu kepada pemberita, selepas beberapa bulan menewaskan sekutu Erdogan dalam pilihan raya semula yang diadakan selepas kemenangan pertamanya dibatalkan.
Ini kerana, pegawai melaporkan ada menemui ratusan ribu undi mencurigakan selepas Erdogan enggan mengaku kemenangan awal Imamoglu di bandar yang beliau sendiri uruskan sebelum menyertai arena politik negara dua dekad lalu.
Ternyata, keputusan itu memberi tamparan buruk kepada parti Erdogan.
Gelombang tunjuk perasan dan sokongan daripada segenap sudut politik, menyumbang kemenangan besar kepada Imamoglu pada pilihan raya semula yang diadakan pada Jun.
Imamoglu yang ternyata kecewa membiarkan perasaannya itu ‘menular’ beberapa bulan kemudian, dengan menggelar pihak yang membatalkan pilihan raya pertama sebagai bodoh.