15 DIS : Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jaminan itu juga akan diterjemahkan jika usul undi percaya kepada Perdana Menteri diadakan pada sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.
“GPS memberi jaminan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar jika usul undi percaya diadakan di Dewan Rakyat, Isnin depan.
“Sokongan GPS terhadap kerajaan ketika ini turut mengambil kira kepentingan dan hak Sarawak, termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bagi GPS, yang penting adalah hak Sarawak terjamin,” katanya selepas mesyuarat kepemimpinan tertinggi gabungan itu, hari ini, dipengerusikan Pengerusi GPS, yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, satu perjanjian persefahaman bagi menyokong Kerajaan Perpaduan yang membabitkan semua gabungan parti yang membentuknya, akan dimeterai petang esok.
Beliau berkata, berkata kepemimpinan tertinggi GPS memperhalusi draf perjanjian berkenaan pada mesyuarat itu.
“Objektif utama perjanjian ini adalah supaya semua parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini bersatu dalam dan memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri,” katanya