15 DIS : Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Menerusi satu catatan di Facebook miliknya, Ka Siong berkata, pertemuan yang berlangsung selama 35 minit ini banyak menyentuh tentang isu-isu rakyat dan negara.
“Saya juga mengutarakan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti Cina serta bertukar pendapat dengan PM mengenai masalah inflasi kos sara hidup, perkembangan politik terkini dan cara menarik pelaburan asing terutamanya dari negara China yang mempunyai potensi besar untuk melabur di Malaysia dan seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara.
“Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai PM10.
“Terima kasih PM di atas jemputan untuk mengadakan pertemuan ini,” ujarnya.
Turut sama dalam kunjungan hormat itu ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng .
Ka Siong turut berharap agar Kerajaan di bawah pimpinan Anwar akan terus maju, stabil dan pulih dalam era pasca pandemik.