15 DIS- Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan pihak yang mempertikai kewujudan dan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)
sebagai tidak mementingkan keselamatan negara.
Tegasnya, polis memerlukan akta itu bagi membanteras sindiket-sindiket serta kumpulan penjenayah yang berbahaya kepada negara ini.
“SOSMA ini diperlukan untuk membanteras jenayah-jenayah kekerasan termasuk terorism. kalau undang-undang itu tak ada, negara kita akan terdedah dengan ancaman teroris. Polis memang memerlukan masa yang panjang untuk menyiasat penjenayah-penjenayah atau sindiket-sindiket yang terlibat dengan jenayah terorism.”
“Jadi kenyataan menteri itu betullah. Undang-undang ini memang diperlukan. Jadi bagi saya mereka yang cuba untuk menolak undang-undang ini tadi tidak mementingkan keselamatan negara.,” katanya kepada BBC Portal, hari ini.
Semalam Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertimbangkan keputusannya untuk tidak menyemak semula SOSMA.
Beliau mengingatkan rakan sekutunya itu, kenyataan itu bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) selama ini yang mengakui SOSMA bersifat menindas.
Hari ini, rakan kerjasama piliharaya PH, Muda turut mengkritik pendirian Saifuddin sambil menyifatkan tindakan itu tidak menunjukkan perbezaan dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini malah Naib Presiden Muda Zaidel Baharudin melabel akta itu sebagai ‘undang-undang yang sangat berat sebelah’.
Dalam sidang media pada Selasa lalu, Saifuddin berkata pihaknya tidak berhasrat untuk menyemak semula SOSMA sambil menekankan akta itu bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang telah dimansuhkan.
Kata Saifuddin, undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah.
Mengulas lanjut, Musa berkata tempoh 28 hari yang diperuntukkan itu sangat perlu untuk pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci lebih-lebih lagi ia melibatkan kumpulan sindiket yang ramai.
“Kalau dua, tiga hari polis tidak dapat melengkapkan siasatan dengan baik kerana yang terlibat ini ramai orang bukan satu atau dua orang. Kalau jenayah biasa lain. Kalau reman 117 (Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah) dua tiga hari sahaja, kemudian kena bebaskan balik, bila masa polis nak membanteras kumpulan-kumpulan penjenayah, teroris ini?
“Ini bukan jenayah biasa tapi melibatkan jenayah keganasan dan juga sindiket. Kuasa polis hanya ada 28 hari saja untuk menjalankan siasatan selepas itu akan dituduh di mahkamah, proses yang sama,” tegasnya.
Musa berkata, jika berlaku salah guna kuasa dalam kalangan pegawai polis dalam melaksanakan SOSMA, ada undang-undang yang boleh digunapakai bagi memastikan pegawai terlibat diambil tindakan.
“Kalau berlaku salah guna kuasa oleh polis, ambil tindakanlah. Tak susah. Pasal apa kalau polis salah guna kuasa, nak buang undang-undang pula? Undang-undang itu diperlukan untuk menjaga keselamatan negara.
“Jadi kalau polis salah guna kuasa, ada undang-undang lain yg boleh ambil tindakan terhadap pegawai-pegawai tersebut. Mahkamah boleh ambil tindakan. Yang berkuasa polis tapi kalau polis salah guna kuasa, ada undang-undang lain yang boleh ambil tindakan. – Oleh NUR EISYA