15 DIS : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana pengurusan COVID-19 berjumlah RM92.5 bilion ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Sumber rapat dengan siasatan berkata operasi itu dijalankan secara serentak di sekitar Lembah Klang bermula hari ini.
Beliau berkata lapan agensi berkenaan menerima ‘peruntukan besar’ daripada pakej rangsangan yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2020 dan 2021.
Sumber itu berkata susulan serbuan di lapan agensi berkenaan, SPRM menyerbu sembilan syarikat untuk mendapatkan dokumen berkaitan.
Sembilan syarikat berkenaan dipercayai menjadi pembekal utama kepada lapan agensi kerajaan terbabit.
Bagaimanapun, sumber itu berkata terlalu awal untuk memperincikan kes itu kerana siasatan masih di peringkat awal.
“SPRM memerlukan sedikit masa untuk menyiasat dan mengesan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya dipetik portal Free Malaysia Today.
SPRM sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 juta yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik COVID-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.
SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata Kementerian Kewangan sudah memberikan perincian dana berkenaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19.
SPRM berkata sebanyak RM530 bilion telah diperuntukkan dan daripada jumlah itu RM92.5 bilion adalah membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan dana kerajaan.
SPRM juga dilaporkan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan itu.