16 DIS: Pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan 31 lagi mangsa yang tertimbus akibat kejadian tanah runtuh di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm di Jalan Batang Kali menghala ke Genting Highland, pagi ini.
Seramai 93 orang berada di tiga kawasan perkhemahan yang runtuh itu termasuk pekerja kem ketika kejadian jam 2.24 pagi dan sehingga jam 7 pagi, seramai 62 mangsa berjaya dikeluarkan.
Turut ditemui selamat 14 pekerja kem perkhemahan dan rekreasi tersebut.
Setakat ini, dua mangsa membabitkan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak dipercayai terkorban dalam kejadian itu.
BBC Portal difahamkan, terdapatkan seramai 30 kanak-kanak turut berada di kawasan runtuhan tersebut.
Pasukan unit K9 dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas berada dilokasi ketika ini bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turut diaktifkan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat tanah rumah menimpa kawasan perkhemahan tersebut
Katanya, ketinggian runtuhan dianggarkan 30 meter dengan kawasan runtuhan hampir 1 hektar.