16 DIS : Seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, setakat jam 7.30 malam ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pasukan penyelamat masih lagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa yang masih hilang.
“Saya dimaklumkan keseluruhan mangsa 94 orang. Yang meninggal dunia 21 orang dan yang belum ditemui 12 orang.
“Jadi kerja untuk mencari 12 mangsa yang belum ditemui. Kita berdoa mudah-mudahan ada yang terselamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Menurut Ahmad Zahid, terdapat dua aliran air bawah tanah di kawasan runtuhan.
“Ini dapatan awal daripada siasatan pihak JKR dan Jabatan Tanah dan Galian,” katanya.