16 DIS : Hampir 42,000 orang maut di Iran akibat pencemaran udara pada 2021, menurut Ahli Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen negara itu.
“Lebih 41,700 orang maut di negara ini pada 2021 disebabkan partikel zarah 2.5 mikron atau lebih kecil,” kata Ahli Parlimen Somayeh Rafiei pada Rabu, memetik laporan Bank Dunia.
Mengkritik cadangan Kementerian Perindustrian, Galian dan Perdagangan baru-baru ini yang mahu mengurangkan standard pelepasan beberapa kenderaan import, Rafiei yang dipetik Iranian Students News Agency (ISNA), berkata kos pencemaran udara kepada negara lebih tinggi daripada jangkaan.
Pada sidang awam, beliau menegaskan bahawa pencemaran udara di negara itu menyebabkan kerugian tahunan antara AS$7 bilion (RM30.92 bilion) hingga AS$11 bilion (RM48.59 bilion), manakala kos tidak langsung masih belum dikira.
Rafiei turut menempelak Majlis Menteri yang menerima cadangan itu tanpa terlebih dahulu melalui prosedur rasmi dengan mengatakan ia bertentangan dengan undang-undang udara bersih negara.
“Sejak 21 Mac, bilangan hari tidak sihat dari segi indeks kualiti udara di Tehran meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
“Penduduk di Tehran mempunyai dua hari dengan udara segar tahun ini, manakala penduduk Isfahan, Karaj, Ahwaz, dan Arak hanya mempunyai satu hari.”
Tehran sejak beberapa tahun kebelakangan ini muncul sebagai antara bandar paling tercemar di dunia, dengan kualiti udara yang buruk memaksa penutupan sekolah dan perniagaan.