16 DIS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku awal pagi hari ini dan berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Baginda berdua turut mendoakan agar dipermudah urusan dan usaha mencari serta menyelamat semoga mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera dan berharap agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.
Baginda berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Baginda berdua juga turut mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.