Empat parti politik meterai perjanjian kukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan
16 DIS : Empat gabungan politik hari ini memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perjanjian persefahaman kerjasama itu ditandatangani kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Empat gabungan parti politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr.
Semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH itu menurut Anwar sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
“Komitmen mereka ialah menyokong sebuah kerajaan yang stabil. Saya berharap kerjasama itu akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.
“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya untuk menyokong kerajaan yang stabil. Harapnya sehingga penggal berakhir,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Anwar akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu, hari ini.
Katanya, langkah itu mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini.