16 DIS : Setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 23 orang mangsa insiden tanah runtuh ditemui dalam keadaan selamat, manakala 2 orang meninggal dunia, 3 orang lagi cedera dan 51 orang masih tidak ditemui.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, sejumlah 79 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku.
Menurut kenyataan itu, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.
“Pada pukul 2.24 pagi tadi, Bomba Selangor telah menerima panggilan kecemasan berlaku kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. Pasukan Bomba daripada BBP Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands mula tiba di lokasi pada pukul 3.04 pagi
“Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, PDRM, APM, KKM dan Pasukan SMART,” kata kenyataan itu.
Ketinggian runtuhan itu dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar 3 ekar.
Jabatan Bomba dan Peyelamat Selangor akan memaklumkan perkembangan misi menyelamat dari semasa ke semasa akan dikemaskini sehingga operasi selesai.