16 DIS : Kira-kira 100 orang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap dalam insiden tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi semalam sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran ‘Father Organic Farm’ dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.
“Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya lagi, maklumat awal daripada pihak polis mendapati, terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan tersebut yang mungkin menjadi mangsa runtuhan.
Bagaimanapun, Norazam berkata, setakat jam 5.30 pagi, seramai 31 mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat.
“Pasukan unit K9 dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas turut digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turun telah diaktifkan untuk penyelamatan mangsa yang masih terperangkap,” ujarnya.