17 DIS : Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, melawat tempat runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, pagi tadi.
Baginda diiringi oleh Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Raja Datuk Muzaffar Raja Redzwa, dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, pada jam 10.20 pagi.
Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit dengan turut diberi taklimat mengenai kejadian tanah runtuh itu oleh Arjunaidi serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, sebelum berangkat pulang jam 10.50 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki 12 mangsa masih hilang dalam insiden itu disambung semula kira-kira jam 7.30 pagi selepas ditangguhkan sementara malam tadi atas faktor cuaca hujan.
Setakat ini, seramai 21 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 lagi berjaya diselamatkan dalam tragedi awal pagi semalam yang dilapor membabitkan sejumlah 94 orang.