17 DIS : Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiga warga Singapura ditemukan selamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi semalam.
Kementerian dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kerajaan bertindak pantas dalam memastikan semua yang terjejas akibat tragedi itu diberi bantuan segera.
“Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tragis berkenaan.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.42 pagi semalam membabitkan 94 individu, termasuk pekerja tapak perkhemahan.
Setakat malam tadi, seramai 12 orang dilaporkan hilang, manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.