19 DIS : Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara tersebut dalam perbualan telefon bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas hari ini.
“Menerima panggilan telefon daripada TYT Mahmoud Abbas, Presiden Palestin bagi merakamkan ucapan tahniah sempena pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Kami mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Dalam perbualan telefon itu, Anwar turut menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.