20 DIS : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 melibatkan peruntukan RM107,718,676,650.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mendapatkan kebenaran sementara Parlimen sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.
“Anggaran perbelanjaan di bawah RUU ini merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
“Begitu juga projek-projek pembangunan yang sedang berjalan perlu diteruskan dan kontrak dibayar mengikut jadual,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15, pagi ini.
Keputusan diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan.
Dalam pada itu, menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 Anwar mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan 2023 untuk perbelanjaan segera.