20 DIS : Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah diarahkan untuk menggerakkan aset dan anggotanya ke negeri-negeri di Pantai Timur yang ketika ini dilanda banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, ia bagi mengatasi isu kekurangan aset untuk kegunaan logistik termasuk membawa bekalan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terputus hubungan.
“Banjir luar jangka yang berlaku di negeri Pantai Timur, terutama di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan menyebabkan berlaku isu kekurangan makanan di PPS tertentu dan kekurangan aset untuk logistik.
“Selain bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya meminta ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang mempunyai aset yang boleh dimobilisasikan (digerakkan ke kawasan ditimpa banjir) kerana aset itu berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir ialah di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
“Oleh kerana aset ini agak berkurangan di ketiga-tiga negeri ini, maka saya minta MINDEF, khususnya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk meminta Panglima ATM dan Panglima Tentera Darat menggunakan segala aset yang ada untuk dipindahkan sementara bagi kegunaan di sini.
“Yang keduanya, oleh kerana kerosakan jalan dan ada jambatan yang putus, saya yakin KOR Jurutera Tentera Darat dan Markas Angkatan Bersama Tentera boleh juga membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut sempena lawatan ke PPS Bencana Banjir Daerah Besut hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum itu mendengar taklimat pengurusan bencana banjir daerah Besut di Pejabat Daerah Besut.
Katanya lagi, Jawatankuasa Bencana Pusat akan menyelaras bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan peruntukan sedia ada untuk dimobilisasikan sepenuhnya.
“InsyaAllah koordinasi antara NADMA dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang dilakukan yang mana Perdana Menteri sendiri amat prihatin dan jika keperluan mendesak maka peruntukan tambahan akan diturunkan dengan segera.
“Saya harap kerajaan negeri dan SUK dapat mengkoordinasikan dengan peringkat Jawatankuasa Bencana Pejabat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk segera membantu mangsa banjir di ketiga-tiga negeri ini,” katanya.