21 DIS : Persetujuan Kerajaan untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri merupakan berita baik buat rakyat Sabah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf.
Menurut Fadillah, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya lagi, tarikh pelaksanaan perkara tersebut hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
“Alhamdulillah berita baik bagi rakyat Sabah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengumumkan Kerajaan bersetuju memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri.
“Mengenai perkembangan MA63 yang saya pengerusikan, Perdana Menteri hari ini memaklumkan beberapa kemajuan berhubung perkara itu akan diumumkan bulan depan.
“Menurut beliau, InsyaAllah awal Januari bila genap sebulan Kerajaan Perpaduan akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.
Perkara lain dalam perjanjian itu yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang, akan ditangguhkan sehingga sidang Parlimen akan datang, kata Fadillah lagi.
Sebelum ini berkuat kuasa 1 Jun 2021, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.