22 DIS : Petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui empat lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, menjadikan keseluruhan 30 mayat mangsa ditemukan sehingga kini sejak tragedi berlaku awal pagi Jumaat lalu, dengan tiga lagi mangsa masih hilang.
Empat mayat terkini yang ditemukan dalam misi SAR itu membabitkan dua kanak-kanak serta dua dewasa termasuk seorang wanita.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kenyataan di Facebook mengesahkan perkara itu.
“Pagi ini petugas SAR telah berjaya menemui empat lagi mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm,” katanya.
Satu sidang media berkenaan perkara itu akan diadakan pihak Bomba dan polis di lokasi dalam masa terdekat.
Sebelum ini, dua mayat ditemukan masing-masing membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki bersama dua anjingnya, masing-masing mangsa ke-25 dan ke-26 tragedi itu.
Mayat lelaki dewasa itu ditemukan jam 11.16 pagi semalam di Sektor B (Farm View), manakala mayat kanak-kanak perempuan berkenaan ditemukan jam 11.15 malam kelmarin di Sektor C (Riverside).
Pasukan penyelamat juga tidak menolak kemungkinan untuk melakukan penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa mengambil kira penemuan mayat kanak-kanak perempuan yang belum dikenal pasti identiti itu pada kedalaman ‘luar jangka’ iaitu kira-kira 17 meter.
Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.
Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 disahkan terkorban dan tiga masih hilang.