22 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini merupakan lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
Difahamkan, Anwar hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL, yang diadakan secara tertutup.
Selepas itu, Anwar dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur juga secara tertutup di lokasi sama, selepas selesai mesyuarat tersebut.
Beberapa Ahli Parlimen yang dilihat tiba di Menara 1 DBKL antaranya Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), Tan Kok Wai (Cheras) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).
Kehadiran Anwar pada pukul 9 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah serta kira-kira 100 warga DBKL.