22 DIS : Sos Pasta Prego Carbonara Mushroom yang diimport ke Singapura sudah ditarik balik, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut SFA, pihaknya diberitahu oleh The Arnott’s Group bahawa terdapat ‘kesilapan pengilangan’ pada kumpulan sos pasta berkenaan (665g).
Produk yang terjejas – dengan nombor kumpulan 2022081716 – dihasilkan pada 17 Ogos lalu, dari jam 10.18 malam hingga 11.20 malam. Tarikh luputnya adalah pada 17 Ogos 2023.
Berasal dari Malaysia, produk itu mungkin menunjukkan tanda termasuk bau yang tidak menyenangkan, warna yang luar biasa, terlalu cair serta berair dan lapisan cecair yang terpisah, menurut SFA.
Pengimport produk tersebut, Campbell Soup Southeast Asia (cawangan Singapura) sudah diarah supaya menarik balik produk berkenaan, dedah SFA.
Mengikut Akta Penjualan Makanan, makanan yang diketahui tidak sesuai dimakan tidak seharusnya dijual, lapor agensi berita CNA.
“Pengguna yang sudah membeli produk berkenaan tidak seharusnya memakan produk-produk tersebut.
“Sesiapa saja yang sudah memakan produk itu dan berasa tidak sihat harus mendapatkan rawatan perubatan,” kata SFA.
SFA juga menjelaskan, pengguna boleh menghubungi tempat di mana produk tersebut dibeli untuk mengajukan pertanyaan.