22 DIS : Angka sebenar mangsa tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong, di sahkan seramai 92 orang, bukan 94 seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata semakan mendapati berlaku pertindihan nama dalam buku pendaftaran tapak perkhemahan yang membawa kepada kekeliruan jumlah sebenar mangsa.
“Ia berdasarkan rekod daftar di pusat perkhemahan (Father’s Organic Farm), dan selepas kita buat semakan beberapa kali, termasuk maklumat daripada laporan polis oleh waris, kita rumuskan bahawa jumlah rasmi sebenarnya adalah 92 orang, iaitu kurang dua orang daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini.
“Setakat ini, yang ditemui meninggal dunia adalah seramai 30 orang, selamat (61) dan seorang lagi mangsa belum ditemui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi, hari ini.
Arjunaidi berkata, kekeliruan berhubung jumlah sebenar mangsa sudah dikesan sejak beberapa hari lalu, namun semakan demi semakan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk kepastian.
Dalam pada itu, katanya, identiti seorang lagi mangsa yang belum ditemui itu sudah pun dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan.
“Mangsa yang masih hilang adalah seorang kanak-kanak lelaki,” katanya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pada sidang media itu juga, Arjunaidi mengesahkan empat mayat mangsa yang ditemui di Sektor C (Riverside), pagi tadi adalah terdiri daripada satu keluarga.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, memaklumkan empat mayat mangsa ditemui dalam satu gulungan khemah yang tertimbus dalam timbunan tanah.
Katanya, anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petanda awal ketika pengorekan dibuat menggunakan jengkaut sebelum menemui mayat pada jam 11.04 pagi.
“Semasa proses mengeluarkan mayat, pasukan bomba menemui keempat-empat mangsa berbalut dalam satu khemah pada kedalaman tanah tujuh meter.
“Empat mayat itu terdiri daripada dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa,” katanya.
Sepanjang operasi SAR yang genap seminggu pada hari ini, seramai 30 mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang.
Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu, yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.