23 DIS : Kementerian Pertahanan bersedia untuk menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jika diperlukan dalam insiden kapal tentera laut Thailand, HTMS Sukhothai yang karam ketika ribut di Teluk Thailand pada Ahad lepas.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kementeriannya melalui Panglima Tentera Laut telah menghubungi rakan sejawatnya di Thailand untuk menawarkan bantuan tersebut.
“Pihak Thailand maklumkan keadaan masih terkawal dan mereka masih boleh uruskan sendiri. Tapi kita bersedia pada bila-bila masa untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut menyampaikan rasa dukacita terhadap mangsa insiden kapal berkenaan.
HTMS Sukhothai yang membawa 105 anak kapal mengalami kerosakan enjin ketika cuaca buruk dan tenggelam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan sekitar 11.30 malam (waktu tempatan) pada Ahad.
Pada Selasa, pasukan penyelamat menemukan enam mayat dan seorang kelasi ditemukan masih hidup.
Setakat Rabu, seramai 75 anak kapal telah diselamatkan.