24 DIS : Enam lagi mayat anak kapal perang jenis korvet HTMS Sukhothai ditemukan di laut selepas ia karam di Teluk Thailand, enam hari lalu.
HTMS Sukhothai karam Ahad lalu, kira-kira 37 kilometer dari pantai tenggara Thailand, dengan operasi menyelamat secara besar-besaran berjaya menarik 76 anak kapal yang hidup dari perairan bergelora.
Seramai 17 daripada 105 anak kapal masih hilang.
“Hari ini kami berjaya menemukan enam lagi mayat,” menurut tentera laut dalam satu kenyataan.
Terdapat bukti awal bahawa mayat yang ditemui, hari ini adalah anak kapal Sukhothai, sambil menambah ujian DNA akan dilakukan.
Enam mayat lain yang ditemui minggu lalu sudah dikenal pasti sebagai anak kapal Sukhothai.
Helikopter, pesawat pengawasan tanpa pemandu dan kapal perang memeriksa perairan dengan harapan dapat menemukan mangsa yang terselamat.
Pencarian itu juga “menerima sokongan daripada pelbagai agensi tempatan”, sukarelawan dan sektor swasta, kata tentera laut.
Selasa, Laksamana Chonlathis Navanugraha menyatakan insiden itu sebagai antara tragedi paling buruk dalam sejarah tentera laut.
Kapal itu sebuah korvet, antara kapal perang tentera terkecil, menghadapi masalah selepas sistem elektroniknya rosak.
Sukhothai ditauliahkan pada 1987 dan dibina di Amerika Syarikat (AS) oleh Syarikat Tacoma Boatbuilding yang kini tidak beroperasi , menurut Institut Tentera Laut AS.