24 DIS : India merancang untuk mewajibkan laporan ujian COVID-19 bagi penumpang yang tiba dari negara dengan jumlah kes yang tinggi, kata Menteri Kesihatan negara itu ketika temubual dengan penyiar NewsX.
“Dalam tempoh seminggu akan datang, negara terpilih akan dikenal pasti di mana jumlah kes lebih tinggi.
“Rakyat asing yang datang ke India perlu memuat naik laporan RT-PCR (COVID-19) mereka dan kemudian datang,” kata Menteri Kesihatan, Mansukh Mandaviya.
Penumpang perlu memuat naik laporan mereka di laman web kerajaan dan menjalani pemeriksaan suhu badan ketika mendarat, kata Mandaviya.
India, yang melaporkan jumlah kes COVID-19 kedua tertinggi di dunia setakat ini akan mula menguji secara rawak dua peratus penumpang antarabangsa yang tiba di lapangan terbangnya untuk COVID-19, kata Mandaviya kepada Parlimen semalam.
Awal minggu ini, kerajaan meminta negeri-negeri di negara itu untuk melihat sebarang varian baharu virus berkenaan dan menggesa orang ramai memakai pelitup muka di kawasan sesak, memetik peningkatan kes COVID-19 di China dan bahagian lain di dunia.