24 DIS : Trafik di lebuh raya utama berada dalam keadaan terkawal dan kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi ‘hot spot’ setakat 9 malam ini, berikutan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung dan bercuti sempena sambutan Hari Krismas dan cuti persekolahan.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata bagi laluan ke utara, kesesakan sepanjang lebih 20 kilometer berlaku di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Bidor sehingga ke Gopeng dan di Alor Pongsu sehingga Sungai Bakap.
Beliau berkata dari arah ke selatan pula kesesakan berlaku di Bukit Tagar sehingga ke Bukit Beruntung, Senawang ke Simpang Ampat dan dari Kempas ke Pasir Gudang.
Keadaan trafik di sepanjang laluan ke pantai timur melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 adalah lancar di kedua-dua arah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu tinjauan Bernama di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak yang merupakan laluan utama keluar dan masuk ibu kota mendapati keadaan trafik terkawal serta tiada berlaku kesesakan.