24 DIS : Mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang merupakan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, berjaya ditemui hari ini.
Difahamkan, mayat itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 4.53 petang di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian semalam.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata, misi SAR hari ke sembilan itu membabitkan keseluruhan 80 anggota pelbagai agensi.
“Operasi SAR pada pagi ini akan ditumpukan di antara Sektor A yang dijangkakan sebagai lokasi terakhir mangsa berada.
“Seterusnya, pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) akan membuat pengesanan di sektor terbabit sebelum pasukan SAR memulakan operasi pencarian mangsa,” katanya.
Difahamkan, majoriti mangsa yang disahkan maut sepanjang operasi sejak tragedi berkenaan berlaku pada awal pagi Jumaat lalu ditemukan di sektor berkenaan.
Berdasarkan maklumat, 19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hill View), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sekstor B (Farm View).
Operasi hari ini membabitkan 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.