26 DIS : Sistem peluru berpandu taktikal Iskander dan sistem pertahanan udara S-400 yang dikerahkan Russia ke Belarus sudah bersedia sepenuhnya.
Ketua Direktorat Ideologi Utama di Kementerian Pertahanan, Leonid Kasinsky, yang mengesahkan perkara itu semalam, berkata ia bersedia untuk melaksanakan operasi yang ditugaskan kepadanya.
“Anggota kerahan kami dan kru sudah menamatkan latihan mereka sepenuhnya di pusat latihan tempur bersama angkatan tentera Persekutuan Russia serta Republik Belarus.
“Senjata jenis ini (sistem Iskander dan S-400) sedang menjalankan tugas tempur hari ini dan ia bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan tugas bagi tujuan yang dimaksudkan,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan menerusi aplikasi Telegram.
Bagaimanapun, tidak jelas berapa banyak sistem Iskander yang mampu membawa senjata nuklear dikerahkan ke Belarus selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, menyatakan pada Jun lalu bahawa Moscow akan membekalkan Minsk dengan sistem Iskander dan sistem pertahanan udara.
Perkembangan itu muncul ketika tekanan Moscow ke atas Minsk semakin meningkat untuk membantu pencerobohannya ke atas Ukraine, yang kini memasuki bulan ke 10 bulan dan tiada tanda akan berhenti dalam tempoh terdekat.
Tentera Russia menggunakan Belarus sebagai landasan pelancaran untuk serangan gagal mereka ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv pada bulan Februari dan kegiatan ketenteraan Russia serta Belarus semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Iskander-M, iaitu kod sistem peluru berpandu mudah alih dikenali ‘SS-26 Stone’ oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu akan menggantikan ‘Scud’ era Soviet.
Dua peluru berpandunya mempunyai jarak sehingga 500 kilometer (km) dan boleh membawa kepala peledak konvensional atau nuklear.
Julat itu menjangkau jauh ke dalam negara jiran Belarus, Ukraine dan negara anggota NATO, Poland, yang mempunyai hubungan yang sangat tegang dengan Minsk.
Sistem S-400 ialah sistem pemintasan peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM) mudah alih Russia yang mampu dipasang pada pesawat, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), peluru berpandu jelajah dan mempunyai keupayaan pertahanan peluru berpandu balistik terminal.
Kasinsky juga berkata, pesawat tentera negara itu sudah ditukar untuk membawa ‘peluru penerbangan khas’.