26 DIS : Kerajaan Selangor sudah menyiapkan jalan sehala di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup berikutan kejadian tanah runtuh perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya yang mengorbankan 31 mangsa pada 16 Disember lalu.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jalan sehala itu sudah disiapkan sebagai langkah sementara bagi kemudahan 4,000 hingga 5,000 penduduk Selangor yang berulang-alik dan bekerja di Genting Highlands, Pahang.
Menurutnya, jalan itu dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan boleh digunakan dalam waktu terdekat.
“Kita sudah siapkan jalan sehala sementara dan akan dibuka segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian mengenai keluhan pekerja berikutan tidak dapat menggunakan Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Bagaimanapun, Izham memberitahu, kerajaan negeri tetap memberi tumpuan dalam soal keselamatan.
“Isu keselamatan menjadi agenda utama kita bagi memastikan mereka yang menggunakan laluan itu selamat,” kata beliau.
Sinar Harian pada 20 Disember lalu melaporkan, penutupan jalan Batang Kali ke Genting berikutan kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh dijangka mengambil masa setahun mengundang pelbagai reaksi pengguna laluan itu di laman sosial.
Salah seorang pengguna, Hasif Fakhrullah kesal kerana kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh itu mengambil tempoh terlalu lama dan selepas ini perlu menggunakan laluan jauh dan sesak di Gombak.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sabtu memaklumkan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang kini ditutup akan dilebarkan akan dibuka semula pada awal atau pertengahan Januari ini.
Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan semasa perbicangan beliau dengan JKR Selangor. – Sinar Harian