30 DIS: Dua daripada sekumpulan tujuh pelajar sebuah universiti swasta lemas ketika bermandi-manda di Sungai Chiling Peretak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berkenaan adalah pelajar lelaki berusia 21 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata berdasarkan laporan awal, tujuh pelajar berkenaan dipercayai hadir ke lokasi itu sejak pagi tadi
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, mangsa pertama telah dibawa naik oleh orang awam dan pihak bomba melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR).
“Mangsa kedua dijumpai pada jam 12.45 tengah hari oleh anggota bomba yang melakukan pencarian di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa lemas itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.