30 DIS: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo sempena lawatan rasmi di Jakarta, hari ini.
Dalam pertemuan di Istana Merdeka selama 30 minit beliau diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq dan turut hadir Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Zambry dan Joko Widodo atau dikenali mesra sebagai Jokowi menyentuh pelbagai isu dua hala termasuk pembatasan sempadan, perdagangan, peniagaan, kelapa sawit, tenaga kerja Indonesia (TKI), situasi di Myanmar dan ASEAN.
Bercakap kepada pemberita di Kedutaan Besar Malaysia selepas kunjungan hormat, Zambry berkata beliau memberi jaminan usaha mengemaskini sistem pengambilan dan pelindungan TKI sedang diambil termasuk cadangan pengendalian sistem oleh satu kementerian.
“Saya perlu bawa perkara ini terlebih dahulu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kabinet dalam masa terdekat,” katanya, sambil menambah isu itu perlu diselesaikan segera kerana sering menjadi hambatan hubungan kedua-dua negara.
Beliau berkata dua perjanjian masing-masing mengenai sempadan dan perdagangan sedang diperhalusi kementerian untuk dimeterai dalam masa terdekat demi mengalakkan sektor ekonomi di kawasan perbatasan.