31 DIS: Kesatuan Eropah (EU) digesa supaya mempertimbangkan serta-merta untuk meningkatkan jujukan genomik jangkitan Covid-19.
Ketua Kesihatan blok itu, Stella Kyriakides, turut meminta negara anggota EU membuat pemantauan terhadap sisa air kumbahan termasuk dari lapangan terbang, untuk mengesan sebarang varian baharu susulan lonjakan virus di China.
Dalam surat kepada Menteri Kesihatan 27 anggota EU, Kyriakides berkata blok itu seharusnya ‘sangat berwaspada’ susulan China menarik balik sekatan perjalanan mulai 8 Januari depan, berikutan data epidemiologi dan ujian boleh dipercayai untuk China agak terhad.
Dalam surat itu, yang dilihat Reuters, Kyriakides mengusulkan kepada menteri kesihatan untuk menilai amalan semasa mereka mengenai penjujukan genomik coronavirus ‘sebagai langkah segera’.
Jika penjujukan genom dikecilkan, negara berkenaan mungkin ingin mempertimbangkan untuk menaikkannya semula, tulisnya dalam surat itu.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk meneruskan atau memulakan pengawasan air sisa, termasuk kumbahan dari lapangan terbang utama.